TEMERLOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu supaya rundingan pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang diselesaikan segera.

Beliau berkata parti itu tidak mempunyai masa panjang untuk menyelesaikan pembahagian kerusi memandangkan Parlimen telah dibubarkan pada Isnin, yang menyaksikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tempoh 60 hari.

"... jika semua setuju, kami di (pimpinan) Pusat boleh mengendors dengan segera. Kita tanding dan kerja di bawah satu jentera sahaja. Bersatu, PAS atau Gerakan tak perlu ada markas berasingan. Kerja sebagai satu pasukan," katanya.

Muhyiddin berkata demikian semasa berucap melancarkan PN Pahang di Dewan Al-Makmur di sini pada Isnin, yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Pahang dikuasai Barisan Nasional (BN) selepas BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN pada pilihan raya lepas, manakala bakinya ialah Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan).

Bagi kerusi Parlimen, terdapat 14 kerusi Parlimen dengan sembilan dimenangi BN dan Pakatan Harapan (empat) manakala Bersatu memperoleh satu kerusi selepas Saifuddin, selaku penyandang Indera Mahkota mengumumkan keluar PKR pada tahun 2020.

-- BERNAMA